Friday, October 17, 2008
Kehilangan
Hari ini kita berdiri, esok lusa mungkin kita rebah.
Hari ini kita senang, akan datang belum pasti nasib kita.
Apa yang pasti, hari ini kita hidup, esok lusa pasti kita mati.
Catatan penuh makna, ku catatkan dalam diari, sebagai peringatan untuk diri sendiri.
Diari ditutup.
Teringat tika usia aku masa remaja, aku rapat dengan nenek, betapa sayangnya nenek padaku.
Sebelum nenek meninggal, sempat ditinggalkan kata-kata yang berbekas dihatiku.
Aku ingat lagi kata-kata nenek padaku.
"Cu, bila nenek dah pulang ke kampung, cu pandai-pandai bawa diri ye cu. Cu fahamkan apa maksud nenek.
Aku mengangguk.
Cu ingat yer pesan nenek ini. "
Ya nek. Cu akan ingat pesan nenek selamanya.
Air jernih mengalir di pipiku, sedih nenek akan meninggalkan aku selamanya.
Ringkas saja pesan nenek padaku sebelum nenek menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ringkas tapi terlalu bermakna bagiku.
Insan yang ku sayang telah kembali selamanya, sedih terasa kerana kehilangan insan yang disayangi dan yang menyayangi ku.
10 tahun berlalu, pesan ringkas arwah nenek masih sebati dalam diriku. "Cu, ingat pesan Nenek ya, pandai-pandai bawa diri". Kata-kata masih terngiang-ngiang di kepala. Namun aku masih belum mengerti sepenuhnya maksud yang cuba disampaikan arwah nenek.
Aku berhijrah ke Kuala Lumpur, membawa diri untuk mencuba nasib di kota yang mahsyur ini. Dengan bekalan dari arwah nenek ku jadikannya azimat agar aku tidak hilang arah tujuku.
Di Kuala Lumpur aku bekerja sebagai office boy. Walaupun gaji ditawarkan tak seberapa, ku sahut demi mengumpul pengalaman. Tanpa pengalaman siapalah kita........
>>>>>>>pelayar je yang tahu kesudahannya<<<<<<
Tamat.
Sunday, October 12, 2008
Harta Ahmad Albab
Sah. Aku bukan bermimpi. Aku masih hidup. Syukur kepasa Tuhan diberikan kesempatan dan usia yang panjang untuk meniti arus kehidupan ini. Untuk hidup buat kali kedua selepas mati seketika.
Duduk termenung, memikirkan bagaimana mahu hidup dengan cara baru yang sebelum ini tidak pernah terbayang di benak otakku.
Terasa berat mulanya. Seperti gunung kinabalu di letakkan di bahu. Terlalu berat dirasakan untuk berdiri buat kali kedua.
Sehari berlalu.
Pintu bilik di ketuk. Terpacul teman yang mnegejutkan aku semalam. Di sapa khabar padaku. Hai Mad, ko sihat ke? Lain macam je aku tengok ko hari ini.
Ahh, ko Man. Ingatkan siapa. Aku sihat je cuma masih teringat peristiwa semalam.
Hahahahaha, Man ketawa besar. Ko ni Mad, jangan sedih, ko sepatutnya gembira dengan peristiwa itu.
Duduk Mad, ko dengar aku ceritakan. Kau "best friend" gua Mad. Takkan Aku nak tipu ko.
Sambil menghirup kopi, Man memulakan ceritanya.
Mad, sebelum kau mengalami peristiwa semalam, pernah tak kau termimpi atau pun kau rasa nak merasainya?
Mesti pernah bukan. Aku kenal kau Mad. alhamdulillah Mad, Kau dan aku berada pada jalan yang satu. Bukan senang untuk mempunyai seorang kawan yang mempunyai satu wawasan dan cita-cita, lebih-lebih lagi dengan keadaan dunia yang ntah apa-apa ni.
Aku mengngguk tanda bersetuju dengan kata-kata Man. Tidakku sangka, Man sekarang sudah berubah. Dalam hati aku berdoa "syukur pada Tuhan yang memberikan aku seorang kawan seperti Man."
Man bertanyakan kepada aku. Mad. Kau tahu tak tentang "harta Ahmad Albab"?
Aku mengeleng kepala.
Alah, macam dalam cerita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tu. Cerita tentang harta Ahmad Albab.
Oooo, yang tu, aku tahu la. Apa kaitannya Man. Kau ni buat aku "confius" la Man.
Suara Man tiba-tiba berubah, bertambah serius.
Mad, kau dengar ni. Kau tahu tak apakah sebenarnya Harta Ahmad Albab? Kau ingat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee buat filem tu untuk orang melayu sekadar untuk gelak tawa je ke. Sebenarnya ada mesej tersirat yang cuba disampaikan kepada masyarakat melayu Mad. Tapi tak ramai yang sedar dan mengetahuinya. Kesian aku tengok masyarakat melayu sekarang ini. Tertipu dan tertindas.
Semuanya sibuk mengejar harta, kekayaan dunia sehingga terlupa kepada harta yang kekal selamanya.
Kadang-kadang sampai bergaduh sesama sendiri semata-mata mahukan kekayaan.
Kita bertuah Mad, kerana diberi kesempatan oleh Allah untuk merasa nikmat harta Ahmad Albab. Kita harus bersyukur Mad dengan kurniaan dari Allah ini.
Aku masih keliru. Aku cuba mengagak. Maksud kau Man, Al-Quran ni adalah harta Ahmad Albab?
Sambil tersenyum, Man mengiyakan jawapanku.
Mustahil la Man. Kau kenal ke siapa Ahmad Albab. Takkan la Al-Quran ni hartanya. Apa yang aku tahu Al-Quran ini diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad dan umat islam. Kenapa tiba-tiba kau kata ini harta Ahmad Albab. Kau ini sesat ke apa Man, atau apa yang kau sampaikan pada aku ni sesat?
Aku setia menanti penjelasan dari Man.
Man tersenyum. Mad Mad. Tak sesat la Mad. Itulah kelebihan Al-Quran yang kita tak tahu, kadang-kadang umat islam sendiri pun tak tahu. Sibuk sangat mengejar dunia, lupa pada kampung akhirat.
Kita beruntung Mad.
Mad, untuk pengetahuan kau, sebenarnya hari ini kebanyakan umat islam tertindas dengan bahasa, kadang langsung tak tahu. Lagi Parah, baca Al-Quran rajin, suara merdu tapi tak faham. Kesian jugak pada mereka bila difikirkan. Mad, kau jangan takut, kita tak salah, kita pun bukan golongan sesat.
Kalau kau nak tahu Mad, sebenarnya harta Ahmad Albab tu merujuk kepada pemilik atau dengan kata lain orang yang mengusai dan memahami Al-Quran.
Kalau kita lihat, Ahmad bermaksud yang terpuji. Albab maksudnya yang berakal.
"So", kau dah faham kan Mad. Maksudnya harta orang yang terpuji lagi berakal.
Jadi, siapakah mereka tu Mad. Bukankah merujuk kepada umat islam yang telah diberikan Al-Quran yang mulia. Lebih-lebih lagi kita Mad, yang benar-benar telah faham bacaan yang sebenarnya. Kita patut bersyukur Mad. Man menghentikan hujahnya.
Air mata aku mengalir, sebak dan gembira dengan penjelasan dari Man.
Benar Man. Benar apa yang kau cakapkan itu. Kitalah pemilik harta Ahmad Albab. Kitalah bangsa yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk menjaga harta ini agar setiap diri umat islam dapat merasai kenikmatannya.
Aku bersyukur pada Tuhan kerana diberikan hidayah olehNYA. Bersyukur kerana diberikan seorang kawan yang telah membimbing aku kepada jalan yang benar lagi diredhaiNYA.
Man, terima kasih. Kau telah menyelamatkan aku dari dunia yang penuh kecelaruan ini. Man tersenyum lagi.
Mad, bukan pada aku kau harus berterima kasih. Allah yang telah membuka hati kau untuk dekat kepadaNYA. Selayaknya, kepadaNYA lah kau ucapkan syukur.
Sebak dada aku. Dalam hati aku, ku ucapkan terima kasih kepada Man.
Sebelum Man meninggalkan aku petang itu, sempat dia berpesan. Mad, sekarang kita ada kerja yang peru dilaksanakan. Kerja yang masih belum selesai. Aku berharap kita tetap akan bersama selama-lamanya dalam mempertahankan kesucian harta ini. Ibarat kata pepatah Mad "biar putih tulang, jangan putih mata. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan".
Aku mengangguk faham. Ya Man. Kita sama-sama akan mempertahankannya. Bantulah aku bila aku memerlukan pertolongan. Man tersenyum, terus meninggalkan aku keseorangan.
Sambil tersenyum gembira memikirkan masa hadapan, aku berazam untuk menjadi seperti Man dan menjadi pemilik sebenar harta Ahmad Albab.
sekian
.............tamat.............
Tuesday, October 7, 2008
Aku Sebuah Al-Quran
Watak Terlibat : Al-Quran (di bawakan oleh penulis)
Tempoh : Sepanjang Hayat
Objektif : Menghisab Diri Sendiri
Sinopsis : Kena Baca La Dulu Baru Tahu...
Pengajaran : Jangan Lupa Siapa kita & Jangan Lupa Pada Al-Quran.
Aku memperkenalkan diriku sebagai Al-Quranul Karim, yang biasanya diriku dikenali dengan "nickname" ini di serata dunia. Walhal namaku lagi banyak berbanding diriku, ada yang memanggil ku "Kitab Suci, Kitab Allah, Petunjuk, Qalam Allah, Cahaya dan bermacam-macam lagi aku digelarkan ". Walaupun namaku banyak tapi aku tidak pernah lupa asal usulku. Aku tetap diriku yang satu, berperanan dalam membimbing kamu dengan PETUNJUK, PENJELASAN DAN PEMBEZA yang telah sebati dengan diriku. Aku juga diciptakan Allah s.w.t seperti kamu, mempunyai tugas yang hampir sama, beza antara kita hanya satu, aku tetap sama seperti hari pertama diciptakan dan walaupun ditempatkan di mana sekalipun, tetapi kamu tidak bukan? Kamu melalui proses demi proses yang mengubah bentuk asalmu sehinggakan ada yang tidak mengenali dirimu. Itulah beza kita.
Aku hanya satu, tiada dua mahu pun lebih dan aku diciptakan cukup sempurna, tiada cacat cela mahupun sedikit kekurangan. Aku cukup hebat apabila berbicara tentang isu-isu semasa yang besar berkaitan politik, ekonomi dan sosial semasa mahupun yang telah berlalu. Tetapi sayangnya, " ku sangkakan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari ", bila aku mengatakan "A", yang mendengarnya mengatakan "B". Apabila aku mengatakan "putih" masih ada yang mengatakan "hitam". Ahhhh. Adakah sama yang haq dan yang bathil? Lalu aku terus bermonolog, tertanya-tanya, adakah mereka tidak faham pertuturanku? Ataukah mereka buta sehingga tidak tau kebenarannya? Atau mereka sekadar berpura-pura tidak tahu. Ahhh, barangkali mereka ini cuba menguji kesabaranku dalam menegakkan kebenaran ajaran Ilahi.
Terdiam seketika...
Fikiranku melayang, menerjah sejarah yang lewat 1400 tahun yang lalu. Masihku ingat pada "birthday" ku, tanggal 17 Ramadhan, di dalam gua di atas sebuah bukit dalam kegelapan malam, aku dilahirkan tanpa ibu. Dilahirkan atas perintah Sang Pencipta Yang Maha Agung membawa amanah yang satu kepada dunia. Walaupun usiaku masa itu masih setahun jagung, dengan penuh rasa hormat, dengan langkah panglima terbilang, dengan suara yang cukup lantang aku meneruskan perjuangan dalam menyampaikan amanah-Nya tanpa rasa berat lagi bersedih hati.
Masa terus berjalan, siang silih berganti malam, malam berganti siang, tahun berganti tahun. Aku semakin dewasa dan kematanganku melebihi segala yang kamu miliki. Dahulu diriku tidak terurus, nah! Kau lihat sekarang. Betapa cantik dan sempurnanya diriku. Aku gembira dengan diriku sendiri.
Namun dalam kegembiraan yang ku lalui ada insan yang menderita dan iri hati padaku. Aku sedih dalam kegembiraan. Aku terus terfikir dan tertanya-tanya, burukkah tingkah laku diriku sehingga mereka benci, menjauhkan diri dariku tanpa bertegur sapa bertanyakan khabar gembira. Dalam diam aku menangis sepi mengenangkan nasib diri.
Lama Termenung, tidak mematahkan semangatku. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia pada usaha, bagi diriku terasa teramat bertuah kerana mempunyai seorang teman yang amat manyayangi dan memahami diriku. Kami berdua saling bergantungan melengkapi antara satu sama lain. Temanku sedih aku pengubatnya. Diriku dihimpit, dikeji dan dihina, temanku yang sejati pasti menyelamatkan ku. Terasa bertuah tidak terhingga.
Suratan takdir mengubah segalanya, ajal maut di tangan Pencipta. Aku cuma sempat bersahabat dengan teman sejatiku hanya seketika waktu, masih ku ingat kami bersahabat selama 23 tahun sahaja sebelum Yang Maha Pemurah Lagi Yang Maha Penyayang menjemput temanku kembali ke sisi-NYA. (menitis air mata dengan pemergian teman sejati).
Tiada ganti terbaik yang dapat menggantikannya untuk mendengar luahan hati kecilku ini.
Hati kecilku bertanya. Sudikah dikau menjadi ganti temanku itu?
Pengorbanan dari temanku itu memberikanku kesempatan untuk mengenali dunia. Hari ini aku boleh mendabik dada atas jasa temanku, kebanyakan manusia mahu mengambil ku sebagai "isteri" untuk menjagaku dari celaka. Silaturahim yang diterapkan temanku dulu telah memperkenalkan aku kepada dunia dan namaku gah dan masyhur seperti mana masyhurnya temanku. Tersenyum gembira. Walaupun ditakdirkan umur temanku tidak sepanjang umurku, tapi jasanya padaku dan dunia hari ini tidak terkira, tiada tandingan.
Mengimbas kembali sejarah 13 tahun melalui saat getir semenjak pertemuan kali pertama dengan sahabat, cukup mengoncangkan diriku dan sahabat. Damai yang dibawaku cuba dihentikan oleh mereka yang iri hati dan dengki yang teramat sangat padaku. Ditawarkan bermacam-macam kemewahan, kedudukan dan segala yang indah, namun kami tetap berdiri pada pendirian yang satu, terus dan terus membawa damai kepada dunia, walau ditentang sekeras-kerasnya. Ibarat kata pepatah " yang berat sama di pikul, yang ringan sama di jinjing ". Itulah kejayaan menempuh dugaan dari Yang Maha Besar, hanya dengan jemaah yang bersatu hati teguh pendirian.
Dalam kejayaan pasti ada kegagalan. Ramai yang syahid dalam perjuangan membawa damai, tidak kira juga ramai yang syahidnya tidak sempurna di sisi Yang Maha Pencipta. Sedih mengenangkan peristiwa yang menimpaku dan sahabat, teramat sedih bila mengenangkan mereka yang gugur di tengah perjalanan. Atas dorongan dan janji yang benar dari Yang Maha Pencipta lagi Yang Maha Terpuji, damai terus dijunjung menuju keredhaan-NYA hingga titisan darah yang terakhir.
Hari ini, selepas 1429 tahun berlalu, setelah sekian lama aku melewati peredaran masa, zaman demi zaman, bangsa yang silih berganti, peradaban dunia hari semakin maju berbanding zaman-zaman ku yang lalu.
Timbul pertanyaan pada diriku.
Masih sesuaikah aku hidup pada zaman ini? Adakah sekadar membebankan zaman ini?
Itulah yang ku sentiasa dengar dari mulut manusia hari ini, seolah-olah menafikan kepentinganku pada zaman yang penuh celaru ini. Aku diperlakukan seperti musuh sama dengan yang berlaku pada zaman sebelum ini. Bila perlu namaku diseru. Bila bencana bertandang, aku dijadikan pelindung. Kesedihan menimpa, aku pengubatnya. Tetapi, bila dirimu penuh gembira, tiba-tiba kau lupa padaku.
Namun, aku masih yakin pada janji Yang Maha Perkasa, aku diberi izin-Nya untuk hidup seusia bumi ini atas satu alasan yang benar-benar kukuh untuk memastikan aku membawa damai yang sejahtera pada bumi ini walaupun dengan apa cara sekalipun.
Syukur kepada Yang Maha Esa, dengan berkat rahmat dan lindungan-Nya, diriku masih gagah untuk terus melangkah menuju damai yang pasti. Syukur kepada Yang Maha Mendengar dan Yang Maha Melihat yang mendengar rintihan hatiku, melihat penderitaanku. Atas kasih sayang-Nya padaku, aku tidak diabaikan, aku diberikan teman, insan yang mulia sebagai sahabat untuk bersamaku meniti arus kemodenan, mengubah haluan zaman yang belum pasti ini kepada damai yang pasti yang telah dijanjikan Yang Maha Benar.Damai yang pasti dikecap, mengjengkilkan hati yang iri hati padaku. Prinsipku cuma satu, " biar putih tulang jangan putih mata, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, berani kerana benar takut kerana salah " . Inilah pendirian bukti kebenaranku.
Suatu hari nanti manusia pasti mengetahui kebenaran kata-kataku. Namun sebelum sampainya hari itu, adakah dirimu sudah bersedia untuk menerimaku dalam hidupmu. Jangan menunggu Ramadahan baru engkau sudi berbaik-baik denganku. Ingat pesanku ini padamu wahai insan yang mulia, dulu engkau pernah berjanji untuk bersamaku, masihkah engkau ingat janji itu? Ataukah janji itu hanya tinggal janji saja sekarang ini?
Bukankah engkau juga mengetahui bahawa sesungguhnya, setelah rohmu meninggalkan jasadmu keseorangan dalam kegelapan di suatu alam yang tidak tergambar di fikiran manusia, aku juga yang akan menemanimu bukan. Aku juga memberi cahaya kepadamu . Sedarkah dirimu dengan perkara ini wahai insan yang mulia? Ataukah engkau tidak ambil peduli tentang hal ini sehingga engkau lupa siapa dirimu, dari mana asalmu.
Pesanku wahai insan, ingatlah wahai insan, kita cuma seketika di bumi ini, tiada yang kekal melainkan Yang Maha Pencipta.
Aku mohon kepadamu, sentiasalah berdamping denganku, jadikanlah aku temanmu yang paling istimewa sepanjang hidupmu, kerana aku pasti akan menolongmu bila engkau dilanda musibah. Bukalah hatimu untuk menerimaku, janganlah engkau malu untuk mengenali diriku. Sudikah engkau menjadi temanku wahai insan.
Carilah aku. Carilah aku. Jangan biarkan diriku tenggelam dalam kegelapan.
Engkau pasti tahu di mana untuk mencariku. Aku ada di sekelilingmu wahai insan. Sekiranya dirimu terlalu sukar untuk menemui aku, pejamkanlah matamu, tenangkan dadamu,ingatlah namaku sebutlah namaku. Akulah Al-Quranul Karim. Ingatlah namaku, akulah Al-Quranul Karim. Kau pasti tahu di mana aku berada. Kau pasti akan menemui aku bukan? Aku akan bersabar untuk menanti kehadiranmu. Aku pasti akan bersabar. Menunggu kedatangan seorang teman yang istimewa. Aku sedang menunggumu wahai sahabatku.
(menitis air mata)
sekian.
.....................tamat.................................
Monday, October 6, 2008
Salam Perkenalan
Assalamualaikum..
Salam perkenalan sebagai pembuka bicara kepada semua pelayar-pelayar blog.
Semoga dengan sedikit tambahan blog ini di ruangan skrin saudara saudari dapat sedikit sebanyak membantu daya fikir dan percambahan minda.
Segala yang baik dari Allah, kekurangan itu dari kelemahan diri saya sendiri.
Sekian. Wassalam.
